Ruangan ini disediakan untuk kita berkongsi informasi seperti petua merawat penyakit secara semulajadi, tips kesihatan dan pelbagai tips yang lain. Kepada sesiapa yang ada tips untuk dikongsikan, kami amat berbesar hati jika anda sudi emailkan kepada kami di naturalmedresources@gmail.com dan akan siarkan di sini bagi dimanafaatkan bersama-sama orang lain.

AGAR TIDUR LEBIH LENA

Tutup TV, komputer, telefon bimbit, jam digital atau apa-apa peralatan yang mengeluarkan lampu biru sejam sebelum tidur kerana gelombang pendek lampu biru itu boleh mengganggu tidur.

Elakkan tidur di waktu siang, jika letih sangat pun tidur sebelum pukul 3 petang dan pendekkan ke 20 minit sahaja. Jika anda merasa mengantuk juga, bawa berjalan, telefon kawan-kawan atau minum segelas ais.

Jangan letak jam dekat dengan katil, kerana ianya akan membuatkan anda asyik tengok jam sudah pukul berapa. Letakkan jauh-jauh, dalam laci ke, bawah katil ke.

Jika belakang badan atau pinggang anda selalu sakit semasa tidur, cuba letakkan bantal di bawah kaki semasa tidur bagi mengurangkan sakit belakang dan pinggang.

Jika anda selalu merasa sakit tengkuk bila bangun tidur, salahkan bantal, samada bantal terlalu keras dan gemuk atau terlalu nipis. Cari bantal kepala yang cukup menyokong kedudukan leher anda bila baring. Kalau anda suka tidur mengereng, pastikan kedudukan hidung sebaris dengan tengah badan. Elakkan tidur meniarap.

Alergi di waktu tidur seperti bersin, selesema dan hidung tersumbat mungkin disebabkan oleh bantal dan tilam yang berabuk, ada kulat atau najis hama. Gantikan tilam atau bantal yang dah berlapuk atau gunakan sarung khusus untuk alergi.

Bilik tidur hanya untuk tidur dan bersenggama (bagi yang dah berkahwin). Bilik tidur sepatutnya tempat untuk berehat dan relax. Jadi elakkan menonton TV, buat kerja pejabat dan berbual di dalam telefon di bilik tidur.

Pastikan suhu di dalam bilik tidur tidak terlalu sejuk atau panas.

Tetapkan waktu jam badan anda dengan tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari walaupun di hari minggu.

Elakkan kafein selepas pukul 6 petang. Ini termasuk berhenti merokok selepas waktu tersebut kerana rokok juga mengandungi kafein. AMARAN! Sesetengah ubat penahan sakit dan ubat menguruskan badan juga mengandungi kafein.

Bersenam selalu dapat memperbaiki kualiti tidur. Pastikan anda bersenam 3 atau 4 jam sebelum tidur.

Elakkan makan makanan yang banyak dan berat selepas pukul 8 malam. Ini membebankan sistem penghadaman dengan memaksanya bekerja lebih masa sehingga waktu tidur. Waktu tidur diperlukan oleh sistem badan untuk membaiki sel-sel yang dah rosak, bukannya memproses makanan.

Susu suam dan teh chamomile boleh membantu melenakan tidur anda.

Jangan minum selepas pukul 8 malam bagi mengelakkan anda terpaksa bangun tengah malam untuk ketandas.

Tutup atau kurangkan cahaya lampu 2 3 jam sebelum tidur dapat menghantar isyarat ke otak untuk menghasilkan melatonin,hormon yang membawa kepada tidur.

Jangan tidur bersama haiwan peliharaan anda. Bukan sahaja pergerakkan mereka semasa tidur boleh mengganggu tidur anda, malah mereka membawa bersama kutu, bulu, air liur yang dah kering dan debunga. Eeeee! Tak geli ke?

Tenangkan fikiran anda sebelum tidur dengan mencuba mandi air suam, membaca buku atau mendengar musik yang menenangkan atau lebih baik lagi berzikir.

Berhati-hati apabila menggunakan ubat tidur, kerana ubat tidur boleh mendatangkan kesan sampingan yang teruk jika digunakan kerap.

Sekiranya selepas mencuba mana-mana tips di atas, anda masih tidak boleh tidur (insomia) dan melebihi sebulan, kaji semula apa punca yang menyebabkan anda tidak boleh tidur. Mungkin disebabkan masalah tekanan hidup, masalah kesihatan seperti asma, arthritis, refluks asid dan sesetengah ubat. Cuba dapatkan nasihat pakar.

MEMPERBANYAKKAN SUSU BADAN

Bagi setengah-setengah kaum ibu, apabila air susu berkurangan adalah sukar untuk menyusukan bayi mereka. Mudah saja nak banyakkan susu badan, minum banyak air, susu atau buahan-buahan yang banyak mengandungi air. Kepekatan dan kualiti susu badan bergantung pada apa yang kita minum dan makan. Jadi makanlah makanan yang berkhasiat. Lagi satu, amat penting agar kita merasa tenang semasa memberi susu badan kepada bayi, kerana ini juga akan efek pengeluaran dan kualiti susu badan.

ANEMIA (KEKURANGAN DARAH)

Penyakit ini bererti kurang darah haemoglobin iaitu sel-sel darah merah. Ia berlaku kerana berbagai-bagai sebab. Di antaranya ialah kerana pendarahan, penyakit infeksi atau ubat-ubatan.

Seseorang yang mengalami anemia akan kelihatan pucat, tidak bermaya, tidak bertenaga dan apabila bekerja sering penat, dan pening kepala, tangan dan kaki sering merasa lenguh-lenguh.

Selain daripada mengambil vitamin "iron" dan "Asid folik" yang boleh didapati di klinik atau farmasi anda juga boleh mencuba petua tradisional berikut:-

  1. Bahan-bahannya:

    Segenggam daun bayam
    2 biji telur ayam (kuningnya sahaja)
    2 sudu makan madu asli

    Cara-caranya:

    -Daun bayam ditumbuk lumat dan diperah airnya.
    -Tapiskan airnya dan masukkan telur ayam dan madu.
    -Minum setiap hari.

Atau lebih mudah, rebus bayam yang berwarna hijau dan merah bersama tauhu dan makan serta minum rebusannya setiap hari.

MERAWAT ASMA ATAU LELAH SECARA TRADISIONAL

Terdapat berbagai-bagai cara untuk mengatasinya. Di antaranya ialah:

  1. Bahan-bahannya:

    Halia
    2 sudu makan madu asli
    1 biji telur ayam kampung

    Cara-caranya:

    -Bersihkan halia dan parut kemudian perah dan ambil airnya.
    -Campurkan madu dan telur kedalam air perahan halia.
    -Kacau beberapa minit dan biarkan sebentar dan minum.

  2. Bahan-bahannya:

    6 atau 7 helai daun sirih
    1 sudu teh lada putih
    Minyak kayu putih

    Cara-caranya:

    -Tumbuk daun sirih tersebut bersama lada putih.
    -Campurkan minyak kayu putih secukupnya.
    -Sapukan pada dada dan leher

  3. Bahan-bahannya:

    Bawang putih secukupnya.

    Cara-caranya:

    -Bersihkan bawang putih tersebut dan parut.
    -Masukkan ke dalam gelas dan tuangkan air panas ke dalamnya.
    -Sedut wapnya dan airnya diminum

  4. *Perhatian:

    Jauhkan udara sejuk dan sentiasalah bersenam ringan.
    Lakukan latihan pernafasan secara teratur setiap pagi dan petang. Contohnya seperti berjalan-jalan di waktu pagi. Jangan minum minuman sejuk. Jangan makan makanan yang bertepung. Jangan makan hingga terlalu kenyang. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran serta kurangkan makanan yang berlemak. Di tempat yang berdebu hendaklah ditutup hidung dengan kain. Jangan tidur ditempat yang sejuk dan berehatlah dengan secukupnya.

PETUA MENGUATKAN BADAN

Seseorang yang badannya merasa lemah dan tidak kuat bekerja kerana kurang tenaga disyorkan mencuba pengubatan tradisional ini.

  1. Bahan-bahannya:

    1 biji telur ayam
    1 sudu makan madu lebah asli
    ½ sudu makan air limau nipis
    Kunyit diparut – ambil airnya
    Lada putih secukupnya

    Cara-caranya:

    -Masukkan telur ayam, air kunyit , madu dan air limau nipis bersama-sama.
    -Masukkan lada putih secukupnya. Minum 3 kali seminggu untuk lelaki dan 2 kali seminggu untuk wanita.

  2. Bahan-bahannya:

    Daun lidah buaya secukupnya
    Gula Melaka

    Cara-caranya:

    -Kupas dan dipotong kecil daun lidah buaya.
    -Cuci dengan air panas sehingga hilang getahnya.
    -Masukkan dalam semangkuk air panas.
    -Masukkan dalam gula Melaka.
    -Bahan tersebut boleh dimakan begitu sahaja

  3. Bahan-bahannya:

    2 sudu makan serbuk biji semangka – dicampur dengan air mendidih sebanyak ¼ gelas
    2 sudu makan madu asli
    1 biji kuning telur ayam

    Cara-caranya:

    -Semua bahan-bahan itu dicampur dan digaul hingga sebati.
    -Minum semasa masih hangat.
    -Hendaklah banyak berehat dan banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan

  4. Bahan-bahannya:

    1 Cawan anggur halus
    1 sudu makan air limau nipis
    1 biji telur ayam kampung

    Cara-caranya:

    -Gaulkan kesemua bahan tersebut di dalam gelas.
    -Minum 2 kali sehari

CARA MENGURUSKAN BADAN SECARA TRADISIONAL

  1. Bahan-bahannya:

    2 biji buah delima putih
    Sedikit garam

    Cara-caranya:

    -Bersihkan buah tersebut dan tumbuk sehingga halus.
    -Masukkan tiga sudu makan air masak dan sedikit garam.
    -Tapis dan minum tiga kali sehari.

  2. Bahan-bahannya:

    Lengkuas secukupnya
    1 sudu makan madu asli

    Cara-caranya:

    -Tumbuk lengkuas hingga halus dan berair.
    -Ambil airnya dan tapis dengan menggunakan kain yang jarang.
    -Masukkan madu asli dan diminum.
    -Ulang sehingga menampakkan perubahan

  3. Bahan-bahannya:

    Buah Pinang

    Cara-caranya:

    -Hiris buah pinang sehingga nipis dan halus.
    -Jemur sehingga kering dan tumbuk hingga menjadi serbuk.
    -Setiap hari, ambil ½ sudu serbuk buah pinang itu dan masukkan ke dalam secawan air panas dan minum beserta hampasnya setiap pagi dan petang.
    -Sekiranya anda melakukannya sepuluh hari berturut-turut anda akan melihat perubahan yang menakjubkan

  4. Bahan-bahannya:

    Teh
    Limau Nipis

    Cara-caranya:

    -Buat minuman teh seperti biasa tetapi jangan masukkan gula.
    -Campurkan air limau nipis.
    -Minum setiap hari

NAK MENGGEMUKKAN BADAN

Kebanyakan orang ingin memiliki tubuh yang lansing dan ramping. Walau bagaimanapun terdapat juga orang kurus yang ingin menjadi gemuk.

  1. Bahan-bahannya:

    ¼ kg kunyit
    ½ biji kelapa
    Gula merah secukupnya

    Cara-caranya:

    -Kunyit dan kelapa diparut dan diambil airnya
    -Campurkan dengan hirisan gula merah.
    -Kacau di atas dapur hingga mendidih. Apabila sudah masak, sejukkan ramuan tersebut.
    -Minum ramuan tersebut setiap hari dan pasti tubuh anda akan menjadi gemuk dan selera makan bertambah.

BATUK

  1. Batuk kerana masuk angin:

    Bahan-bahannya:

    1 biji halia sebesar ibu jari.
    4 biji lada putih
    Gula batu secukupnya

    Cara-caranya:

    -Masukkan bahan-bahan tersebut ke dalam 1 gelas air panas. Minumlah pagi dan petang sehingga sembuh.

  2. Batuk yang menyebabkan kerongkong anda gatal-gatal:

    Bahan-bahannya:

    Lengkuas sebesar dua jari
    2 ½ sudu makan beras – diremdam 1 malam

    Cara-caranya:

    -Tumbuk bersa sehingga hancur.
    -Airnya diperah. Setelah itu, airnya dicampurkan dengan air panas sehingga menjadi ¾ gelas.
    -Minum setiap malam sehingga batuknya sembuh.

MENYEJUKKAN BADAN YANG PANAS

Apabila suhu badan panas, seseorang akan merasa pening kepala dan badan terasa lemah serta selera makan hilang. Cubalah petua berikut:

  1. Bahan-bahannya:

    ¾ gelas air kelapa muda
    1 biji kuning telur ayam
    1 sudu madu asli

    Cara-caranya:

    -Campurkan air kelapa muda dan 1 butir kuning telur ayam. Kacau hingga sebati.
    -Masukkan madu dan dikacau.
    -Minumlah selalu.

BATU GINJAL

  1. Bahan-bahannya:

    20 helai daun misai kucing

    Cara-caranya:

    -Tumbuk daun tersebut hingga hancur dan perah airnya.
    -Minum setiap pagi selama seminggu.

  2. Bahan-bahannya:

    15 sudu makan minyak zaitun
    1 sudu makan minyak kayu putih
    2 sudu makan air tapai pulut
    2 biji kuning telur

    Cara-caranya:

    -Ambil minyak zaitun dan tambahkan minyak kayu putih.
    -Campurkan air tapai dan kuning telur. Gaul hingga sebati.
    -Minum secara rutin.

  3. Bahan-bahannya:

    3 sudu makan kacang soya
    4 gelas air

    Cara-caranya:

    -Rebus kacang soya dengan air sehingga air tinggal satu gelas.
    -Minum setiap pagi sebelum bersarapan.

BATU DALAM HEMPEDU

  1. Bahan-bahannya:

    Temulawak
    Daun menira
    Gula merah

    Cara-caranya:

    -Rebus bahan-bahan tersebut.
    -Di samping itu disyorkan anda meminum air nanas, durian belanda, lobak merah dan buah-buahan lain.
    -Hindarilah susu, bir, minumam alcohol, kopi, coklat, teh dan segala jenis daging, terutama yang berlemak, telur,
    bahan-bahan yang pedas dan makanan yang sukar untuk dihadam

BATUK BERKAHAK

  1. Bahan-bahannya:

    1 biji limau nipis
    2 sudu makan kicap manis

    Cara-caranya:

    -Perah air limau itu dan campurkan dengan kicap.
    -Minum 1 sudu makan 3 kali sehari

  2. Bahan-bahannya:

    15 helai daun sirih
    Gula batu secukupnya

    Cara-caranya:

    -Rebus daun itu dengan 6 cawan air. Masukkan gula batu.
    -Apabila tinggal hingga setengah, angkat.
    -Minum 1 cawan tiga kali sehari.

5 NUTRISI PENTING UNTUK KANAK-KANAK MEMBESAR

Nutrisi pemakanan yang seimbang adalah penting untuk kesihatan dan tumbesaran anak-anak. Jangan lupa juga bersenam dan pastikan mereka mendapat rehat atau tidur secukupnya.

Kalsium sangat penting untuk kekuatan tulang dan gigi terutama bagi kanak-kanak yang sedang membesar kerana tulang pun turut membesar bersama mereka. Kalsium boleh didapati daripada susu, yogurt, cheese atau supplemen. Anda boleh cuba kisar susu cokelet rendah lemak dan pisang sebagai makanan ringkas dan berkhasiat mereka.

Serat bukan untuk orang dewasa sahaja. Kanak-kanak pun memerlukannya. Cuba bagi mereka secawan cereal atau oat setiap hari. Kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran pun penuh dengan serat, vitamin dan minerals yang penting.

Setiap sel badan di dalam tubuh memerlukan protin untuk pembesaran. Protin mudah diperolehi daripada susu, telur, ikan, ayam, daging, tauhu, tempe, kekacang dan bijiran.

Anti Oksida melindungi tubuh daripada bendasing yang boleh merosakkan sel dalam badan. Jadi berilah anak anda makanan yang kaya dengan Anti Oksida seperti almond, beri, buah-buahan citrus, karot, bayam, tomato dan pelbagai warna sayuran dan buah-buahan yang berwarna gelap.

Zat Besi penting untuk membawa oksigen di dalam darah dan memberi tenaga. Tingkatkan zat besi anak anda dengan memakan telur, ikan, sayur-sayuran yang berwarna gelap, buah-buahan kering dan kekacang.

TIPS MELATIH ANAK ANDA UNTUK MAKAN SECARA SIHAT. MULAKAN SEMASA MEREKA MASIH KECIL LAGI.

Kanak-kanak tidak dilahirkan dengan kebolehan memilih diet yang lebih sihat, jadi ibu bapa perlu memainkan peranan yang pentng dalam memastikan anak mereka mendapat makanan yang sihat.

Kanak-kanak boleh dipupuk dengan mudah semasa kecil, terutama sekali antara usia 2-7 tahun. Mereka akan membentuk cita rasa terhadap makanan yang mereka suka dan lebih kerap dimakan. Sebagai contoh, kekerapan memberi buah-buahan sebagai snek akan membantu mereka gemar makan buah-buahan berbanding snek tidak sihat seperti biskut manis dan kuih muih.

Tambahan lagi, kanak-kanak memang mengikut konsep “bapa borek anak rintik”, jadi ibu bapa perlu berusaha menjadi model peranan yang baik. Tiada gunanya menyuruh anak anda makan buah-buahan dan sayur-sayuran apabila anda sendiri menggemari karipap atau pisang goreng. Cubalah tips berikut:-

  • Masak di rumah. Hidangan yang dimasak di rumah adalah lebih berkhasiat untuk seisi keluarga dan merupakan cara terbaik untuk memupuk selera yang sihat di kalangan kanak-kanak. Hidangan yang disediakan di restoran sering mengandungi lebih banyak lemak, garam dan gula.

  • Libatkan anak anda. Kanak-kanak suka membeli-belah untuk barangan rumah, memilih makanan untuk bekalan snek mereka, dan ada juga yang suka menyediakan hidangan keluarga mereka. Gunakan peluang ini untuk mengajar anak anda tentang nilai-nilai pemakanan makanan berbeza, dan membaca label makanan! (untuk kanak-kanak lebih besar).

  • Pastikan sentiasa sediakan snek yang berkhasiat. Snek seperti buah-buahan, yogurt atau minuman yogurt, roti bun dan minuman sihat seperti susu dan jus buah segar perlu sentiasa ada di rumah anda. Ini adalah supaya anak-anak anda akan sentiasa makan snek yang berkhasiat dan bukannya kerepek kentang, biskut atau minuman berkarbonat.

    Makan secara sihat tidak boleh dicapai dalam sehari, dan kanak-kanak perlukan masa untuk menerima tabiat yang sihat ini. Beri dan gantikan snek dan makanan tidak sihat dengan alternative yang lebih sihat.

  • MAKANAN UNTUK SI MANJA YANG SAKIT.

    Jika Si Manja Anda Demam. Cuba pujuk si manja mengambil sedikit makanan yang berkalori tinggi, kerana anak anda pastinya enggan makan banyak. Berikan makanan lembut seperti bijirin oat, bubur, sup ayam atau sup sayuran, dan kentang lenyek. Beri si manja minum sebanyak mungkin, terutama sekali air kosong, atau jus, untuk mengelakkan penyahhidratan yang mungkin berlaku apabila suhu badan naik.

    Jika Si Manja Anda Selesema. Berikan makanan yang lembut dan mudah dimakan. Ini termasuk sup atau bubur ayam, telur goreng hancur, kentang lenyek, lempeng dan bijirin oat. Makanan hangat juga boleh bertindak sebagai pengewap, untuk melegakan hidung yang tersumbat.

    Jika Si Manja Anda Cirit-birit. Cirit-birit biasanya boleh dirawat di rumah, selalunya dengan mencegah penyahhidratan atau dehidrasi daripada berlaku. Cuba jangan beri sebarang ubat, melainkan ditentukan oleh si doktor manja anda. Galakkan si manja minum sebanyak mungkin, termasuk air rebusan sup ayam, ikan atau sayuran dan minuman larutan garam. Memang sukar untuk memujuk si manja makan apabila mereka tidak sedap badan. Jadi cuba lah tips berikut dan semoga berjaya:-

  • Berikan sedikit makanan secara kerap, iaitu setiap 1-2 jam, bukan sajian penuh 2-3 kali sehari. Galakkan si manja makan sebanyak mungkin, tetapi jangan paksa makan kerana paksaan boleh menyebabkan si manja tercekik atau muntah.

  • Makanan yang agak manis boleh membuka selera si manja, lebih-lebih lagi jika anak anda muntah-muntah atau merasa loya. Anda boleh menghidangkan pisang lenyek atau ais krim, ataupun tau foo fah untuk membantu menambah selera makan si manja anda. Jangan lupa untuk memberis si manja minum sebanyak mungkin, termasuk air kosong, jus buah-buahan segar, air kelapa dan juga sup.

  • Apabila si manja anda mula sembuh, seleranya juga pulih. Pelbagaikan jenis makanan yang anda berikan kepadanya, kerana makanan yang berlainan membekalkan nutrien yang berlainan. Si manja juga perlu makan secara kerap kerana semasa pemulihan anak anda perlukan lebih banyak tenaga dan nutrien daripada biasa. Pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat akan membantu si manja anda memulihkan tenaga dan seleranya dengan lebih cepat dan sembuh dengan lebih cepat.

  • 20 TIPS AWET MUDA

  • Jangan makan dengan gelojoh, makan lah perlahan-lahan.

  • Diet yang seimbang, lebihkan pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan dalam permakanan seharian.

  • Jaga berat badan. Berat badan berlebihan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit kronik.

  • Kurangkan garam, garam yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan stroke

  • Makan dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap setiap 4 hingga 5 jam dapat memperbaiki metabolisma hormon-hormon dalam badan dan badan dapat bekerja lebih efektif serta organ-organ tidak cepat rosak.

  • Banyakkan meminum air putih (suam), minumlah sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk melancarkan aliran darah yang membawa oksigen ke organ-organ badan.

  • Minumlah susu kacang soya, susu kacang soya mengandungi lesitin yang berfungsi mendorong rejuvinisasi sel agar kulit kelihatan lebih sihat dan segar.

  • Rajin-rajinlah makan ikan ye, ikan laut kaya dengan lemak omega3 yang menurunkan kadar trigliserida (lemak tepu) serta dapat mencegah salur darah menjadi sempit.

  • Minum 2 gelas susu sehari. Susu merupakan sumber kalsium yang terbaik untuk memperkuatkan tulang.

  • Rajin-rajinlah makan sayur terutama ulam-ulaman segar. Sayur kaya dengan antioksida.

  • Buah aprikot mengandungi protin, kabohidrat, zat besi, beta kerotin, vitamin b kompleks dan folik asid yang bertujuan melembutkan dan menegangkan kulit, melindungi kulit dari sinaran matahari serta menyuburkan rambut.

  • Tempe dapat melambatkan menopouse kerana kaya dengan phytoestrogen.

  • Kurangkan makan daging merah. Daging merah mengandungi radikal bebas yang mampu merosakkan sel tubuh, cukuplah sekadar makan 1 kali seminggu.

  • Banyakkan makan buah-buahan yang beraneka jenis, kerana buah-buahan berfungsi menjaga keseimbangan air dalam tubuh.

  • Brokoli berkhasiat mempercepatkan proses penyembuhan dan mencegah penuaan kerana banyak mengandungi Beta Karoten dan Vitamin C.

  • Hindari makanan segera dan makanan dalam tin kerana mengandungi banyak pengawet dan bahan asing yang boleh merosakkan sel-sel dalam badan..

  • Vitamin C sangat penting untuk mencegah radikal bebas (racun) dalam tubuh.

  • Jangan merokok. TAK PERLU DITERANGKAN KENAPA......PAHAM-PAHAM LA YE...

  • Bersenam sekerap yang mungkin. Bersenam dapat melancarkan perjalanan darah dan menghantar oksigen keseluruh badan membuatkan tubuh lebih sihat dan segar.

  • Tidurlah dengan nyenyak dan secukupnya sekurang-kurangnya 8 jam sehari.

     

  • sinus supplement


    COPYRIGHT © 2011 SR Cosmetics. ALL RIGHT RESERVED SEO and Web Design by ACDRA Sdn Bhd